ISLAM ITU INDAH

ISLAM ITU INDAH

Thursday, March 14, 2013

ORANG YANG BANKRAP DISISI ISLAM

Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, "Tahukah kamu siapa orang yang bankrap?" Para sahabat menjawab, "Orang yang bankrap bagi kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta". Baginda bersabda, "Sesungguhnya orang yang bankrap daripada umatku ialah orang yang datang di hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat dan dia datang dalam hal dia memaki, mencaci si fulan, tuduh-menuduh serta memakan harta kepunyaan orang lain, menumpahkan darah, membunuh orang dan memukul orang. Maka diberi kepada orang yang teraniaya pahala kebajikan orang yang menganiaya mereka. Maka jika kebajikan sebelum terbayar tanggungan kezaliman maka diambil daripada kesalahan mereka (orang yang dianiaya) dan dibebankan ke atas (yang membuat aniaya) kemudian dicampak dia ke dalam neraka".
Huraian Hadith:
2.Islam menjaga kehormatan seseorang daripada melakukan perkara-perkara menyalahi hukum yang boleh membawa kepada permusuhan.
3.Jagalah lidah dan hati daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat sesama orang Islam kerana akibatnya boleh menyebabkan amalan seseorang itu diambil dan menggantikan dengan kesalahan yang dilakukannya di dunia.
4.Segala amal kebaikan dan kejahatan akan dapat dilihat dan dirasa balasannya serta ditimbang baik buruknya pada hari kiamat.
5.Orang Islam adalah bersaudara, maka haramlah atasnya pembunuhan, pencerobohan kehormatan dan mencerobohi hartanya.
6.Menzalimi dan menyakiti manusia (seagama) akan menghapuskan pahala dan manfaat amalan yang soleh pada hari kiamat, orang yang melakukannya adalah muflis yang sebenar.
7.Salah satu cara pendidikan yang berkesan adalah dengan menggunakan bentuk dialog dan soal jawab untuk menarik perhatian pendengar.

SYAHADAH


Syahādah (الشهادة), atau ucapan kepercayaan, adalah pernyataan kepercayaan dalam keesaan Tuhan (Allah) dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasulnya. Mengucap dua kalimah syahadah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Apabila dinyatakan dengan kuat secara ikhlas, seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan diri sebagai penganut baru Islam.
لا إله إلا الله محمد رسول الله
Lā ilāha illaLlāhu Mu'ammadun rasūluLlāh.
1.Teks bahasa Arab:
2.Transliterasi:
Bermaksud :"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh-Nya”
Biasanya frasa أشهد أن 'ašhadu 'an = "Saya bersaksi bahawa" ditambahkan di awal kedua-dua Syahadah.
Syarat Sah Syahadah
Bagi seseorang yang bukan Islam mengucapkannya beserta kepercayaan di dalam hati, maka terpelihara diri, harta dan nyawa seperti orang Islam.
Syarat bagi sahnya syahadah adalah:
1.Tertib lafaz syahadah seperti yang dinyatakan.
2.Melafazkan kedua-dua kalimah syahadah dengan berturut-turut (tanpa diselangi perbuatan lain)
3.Mamahami makna kedua-duanya.
4.Mendustakan perkara yang menyalahi atau bertentangan dengan maksud syahadah.
5.Menggunakan perkataan "asyhadu" (ﺃَﺷْﻬَﺪُ) pada keduanya.
6.Tidak syak atau ragu-ragu akan kedua-duanya.
Hak Syahadah
Setelah seseorang mengucapkan syahadah maka wajib bagi beliau menunaikan hak kalimah. Hak kalimah adalah untuk disebarkan kepada mereka yang tidak mengucapkan kalimah(orang bukan Islam) dengan menerangkan kepada mereka maksud kalimah iaitu Tiada Tuhan selain Allah, Tiada yang Berkuasa selain Allah, Tiada yang beri faedah dan bahaya selain Allah dan Muhammad(saw) itu pesuruh Allah sehingga mereka yakin dan tanpa paksaan mereka mengucap syahadah. Inilah dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad(saw) dan para sahabat sebelum datang perintah solat












AKHLAK ISLAM






Walaupun manusia boleh dipisahkan daripada bidang ilmu atau pemikiran, bahkan juga boleh dipisahkan daripada agama dan kepercayaan, tetapi tidak boleh dipisahkan dengan akhlak atau moral. Ini kerana setiap perbuatan, amalan atau tindakan yang diambil tidak terlepas atau terkeluar daripada lingkungan hukuman sama ada terhadap dirinya atau orang lain ataupun benda lain iaitu adakah baik atau tidak segala tindakan tersebut. Jika baik jawapannya perkara itu akan dilakukan tetapi jika jahat perkara itu akan ditinggalkan. Itulah akhlak yang baik. Tetapi jika sebaliknya yang dilakukan itulah akhlak yang buruk.
Dari sini ternyata kedudukan akhlak dalam kehidupan manusia sehingga di kalangan orang yang tidak bermoral mereka merasakan perlu adanya suatu akhlak yang diakui bersama oleh mereka supaya dapat mengatur kehidupan yang lebih baik menurut pandangan mereka.
2.PENGERTIAN AKHLAK
Menurut bahasa: Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-khulq) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah:
Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (Al-Qalam:4)
Menurut istilah:
Antara definasi akhlak menurut istilah ialah: sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan.
Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan:
Akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Imam Ghazali RadiAllahu anhu mengatakan:
Akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Menurut Islam:
Islam mempunyai dua sumber iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyyah. Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.
Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut:
Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenalpasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi bagi mencapai keredhaan Allah .
Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Dengan kata lain, akhlak ialah suatu system yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah SWT, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar.




AJARILAH ANAK-ANAK AKHLAK ISLAM

Hadith:



Daripada Abu Hafs ‘Amru bin Abi Salamah ‘Abdullah bin Abdul Asad anak tiri Rasulullah SAW katanya “Aku seorang kanak-kanak didalam peliharaan Rasulullah SAW dan pada waktu makan tanganku menjemput di sana sini di setiap sudut pinggan maka Rasulullah bersabda, “Wahai anak, bacalah بسم الله (sebutkan nama Allah ketika hendak makan) dan makanlah dengan tangan kananmu dan hendaklah ambil makanan yang hampir dengan kamu. Selepas itu sentiasalah engkau ikut cara makan (yang ditunjuk oleh Rasulullah)”. 
1.Rasulullah mengajar umatnya supaya membaca “بسم الله”ketika hendak makan, makan dengan tangan kanan dan mendahului mengambil makanan yang dekat.

2.Islam menitikberatkan peradaban dalam semua aspek dikalangan umat Islam termasuk adab makan dan sebagainya.

3.Kita berkewajipan mendidik anak-anak dengan adab-adab dan akhlak Islam dengan memberi tunjuk ajar dan teguran apabila mereka melakukan kesilapan.

4.Para pendidik hendaklah memberi tunjuk ajar kepada golongan muda dan kanak-kanak apabila ada kesempatan yang sesuai kerana pada keadaan begitu tunjuk ajar adalah lebih berkesan.

5.Hadis ini juga menunjukkan kepatuhan para sahabat kepada tunjuk ajar Nabi SAW sehingga kanak-kanak dikalangan mereka. .

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA juga daripada Nabi SAW sabdanya, “Hinalah kemudian, hinalah kemudian, hinalah (bagi) mereka yang sempat hidup bersama dengan salah seorang daripada ibu bapanya atau kedua-duanya sekali ketika mereka tua sedangkan dia tidak dapat masuk syurga” (dengan sebab itu)”. 
 
 
Huraian Hadith:
1. Islam menyuruh umatnya supaya mengutamakan berbuat baik kepada ibu bapa dan kemudian kepada keluarga.
2. Ibu bapa adalah orang yang paling patut dihormati. Sesiapa yang mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka nescaya dia tidak akan masuk syurga.
3. Islam memandang hina kepada orang-orang yang tidak mengambil tahu hal ibu bapa mereka.
4. Islam mengajar umatnya bersopan santun dengan ibu bapa.
5. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah wajib walaupun mereka masih muda, tetapi hadith ini menyebut ketika tua kerana pada ketika itu mereka lebih berhajat kepada bakti anak-anak disebabkan kelemahan mereka.
Sumber : Kitab Riyadh As-Solihin.